suria

Rompak Warga Emas, Bekas Pemain Hoki Dipenjara Empat Tahun

MELAKA: Bekas pemain hoki Negeri Sembilan bersama seorang rakannya dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah atas tuduhan merompak seorang warga emas, lebih dua tahun lepas.

K.G Chandrasegaran, 23, bersama rakannya, B.R Vinneshwaran, 22, didakwa melakukan rompakan seutas rantai emas, wang tunai RM8,500 dan sebuah telefon bimbit jenama Nokia 2630 milik Ang Kim Hua, 58, kira-kira pukul 1.50 tengah hari, 6 Ogos 2009.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah kongsi pusat pengumpulan kelapa sawit, Hutan Percha, Alor Gajah mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua mereka yang diwakili peguam, T. Samidurai memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan mereka sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan.

Bahkan katanya, kedua-dua tertuduh yang aktif dalam sukan dengan seorang daripada mereka (Chandrasegaran) pernah mewakili skuad negeri untuk pertandingan peringkat kebangsaan perlu diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.

Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh merompak seorang warga emas sehingga mendatangkan kecederaan.

Hakim Abu Bakar Katar kemudian menjatuhkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh, berkuatkuasa pada Isnin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain