suria

BR1M Bukti BN Sudah Lama Praktik Konsep Negara Berkebajikan:Mustapa

KUALA LUMPUR: Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membuktikan konsep negara berkebajikan yang telah lama dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan rakyat perlu bersyukur terhadap bantuan kerajaan itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata hari ini merupakan hari bersejarah kepada penerima bantuan kerana kerajaan pusat telah menyampaikan bantuan kepada semua yang layak tanpa mengira fahaman politik.

"Mereka yang tercicir akan kita semak sehalusnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan BR1M sebanyak RM500 seorang kepada 1,518 penerima bagi fasa pertama peringkat Parlimen Kota Baharu.

Mustapa berkata tidak pernah berlaku dalam sejarah kerajaan Pusat memberikan peruntukan bantuan yang jumlahnya begitu besar kepada rakyat yang berpendapatan kurang RM3,000 sekeluarga itu.

BR1M diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 bagi membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, di SELANGOR, seramai 104,120 rakyat negeri itu bakal menerima lebih RM52 juta wang BR1M bagi fasa pertama yang akan dibayar bermula hari ini secara berperingkat-peringkat hingga Sabtu ini, kata Timbalan Pengerusi B NSelangor Datuk Seri Noh Omar.

"Kita telah susun jadual di seluruh Selangor dan harap semua kawasan akan mengikut jadual supaya bayaran BR1M untuk fasa pertama boleh dibuat sebelum perayaan Tahun Baru Cina," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program penyampaian BR1M Negeri Selangor Fasa Pertama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khai Tee Pasir Penambang di Kuala Selangor.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Anggota Parlimen Tanjong Karang, turut menyampaikan bantuan BR1M dalam bentuk baucar tunai kepada 250 penerima pertama di negeri itu.

Beliau berkata sehingga hari ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima sebanyak 352,810 permohonan daripada rakyat Selangor yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Noh berharap pemohon yang masih belum menerima BR1M diminta bersabar menunggu giliran masing-masing berikutan lebih 200,000 baki borang permohonan sedang diproses oleh pihak LHDN.

Beliau berkata mereka yang gagal menerima bantuan itu boleh mengemukakan rayuan dengan mendapatkan borang rayuan yang disediakan di pejabat LHDN, pusat khidmat wakil rakyat BN dan pejabat pembangunan negeri persekutuan di kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Noh berkata penerima BR1M boleh menunaikan baucar RM500 masing-masing di mana-mana cawangan tiga bank terlibat dalam pengagihan BR1M iaitu Maybank, CIMB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Sementara itu, seorang penerima BR1M, Onah Asmori, 63, yang merupakan ibu tunggal kepada enam orang anak ketika ditemui Bernama berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarganya.

Seorang nelayan, Sam Thian Chai, 58, berkata bantuan itu dapat mengurangkan bebannya untuk menyara isteri dan tiga anak yang masih bersekolah, dan akan menggunakannya untuk membeli barangan keperluan sekolah dan juga bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Manakala ibu tunggal, A.Leela, 45, berkata beliau amat gembira atas pemberian BR1M dan berterima kasih kepada keprihatinan kerajaan BN dalam membantu mengurangkan bebanan rakyat yang terpaksa berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Di MELAKA, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata hanya 43,000 daripada 120,000 permohonan didapati layak menerima bantuan itu, yang berjumlah RM21.5 juta.

Beliau berkata, pemberian BR1M itu membuktikan kerajaan B Nmengotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat dan menolak dakwaaan pembangkang bahawa kerajaan hanya pandai berjanji dan tidak akan dapat mengeluarkan peruntukan besar bagi program itu.

"Bantuan ini merupakan satu tanggungjawab kerajaan bagi memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat terjaga dan mereka seharusnya dapat menilai sendiri usaha kerajaan dan bersyukur dengan pemberian ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan BR1M kepada 1,248 penduduk Bukit Katil di sini.

Katanya, pengedaran wang bantuan tersebut akan dilakukan dalam dua sesi iaitu pagi dan petang dan berjalan serentak di seluruh negeri tersebut mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Di PERLIS, kumpulan pertama seramai 1,081 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan disampaikan Anggota Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Radzi berkata mereka adalah antara 21,384 keluarga yang dipilih menerima BRIM fasa pertama membabitkan jumlah bantuan sebanyak RM10.69 juta yang diagihkan secara berperingkat sehingga 11 Feb ini.

Katanya, kumpulan terakhir bagi fasa pertama itu ialah penerima bantuan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Sanglang membabitkan 1,163 penerima manakala fasa kedua membabitkan sebanyak 19,220 keluarga dengan jumlah bantuan yang akan dikeluarkan sebanyak lebih RM9.6 juta.

Bagi jumlah penerima fasa ketiga dan terakhir, ia masih belum diputuskan lagi, katanya.

Lebih 50,000 permohonan BR1M diterima dan ada permohonan yang masih belum diluluskan kerana kegagalan pemohonnya melengkapi borang yang diedarkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain