suria

‘Tawaran Jingga’ Hanya Permulaan Manifesto Pakatan Rakyat

PETALING JAYA: ‘Tawaran Jingga’ disifatkan sebagai satu ‘prelude’ atau permulaan kepada ‘Tawaran Manifesto’ Pakatan Rakyat yang sekadar menerangkan perbezaan pendekatan parti perikatan itu berbanding Umno-Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Jawatankuasa Jingga Pakatan Rakyat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau yang dipetik sebagai berkata dalam blognya (http://blog.drdzul.com/) menegaskan bahawa Tawaran Jingga adalah penyelesaian krisis negara secara bersepadu dan menyeluruh.

“Ia adalah rumusan penyelesaian komprehensif bagi menangani segala krisis yang turut disifatkan ‘menyeluruh dan sempurna’ bukan sahaja dari aspek kerosakan pengurusan fiskal dan ekonomi.

“Sebagai pendekatan Pakatan Rakyat, kami cenderung untuk mengambil pendekatan yang mengiktiraf bahawa masalah ekonomi akan hanya dapat digarap dengan reformasi politik,” katanya yang menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama dalam satu gagasan ‘Membersihkan Malaysia’.

Dr Dzulkefly yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, Tawaran Jingga adalah mengenai mencapai Dasar-Dasar Bersama.

Ia merupakan demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat (Reformasi Politik) dan memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil (Reformasi Ekonomi).

Antara lain melibatkan keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh (Reformasi Sosial) dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara (Government-Governance-Federalisme).

“Sebagai ‘prelude’ kepada manifesto Pakatan Rakyat, Tawaran Jingga telah cuba mengingatkan semua bahawa pendekatan kami bukan sahaja menambahbaik kerosakan dan kepincangan yang telah dilakukan oleh regim yang lalu.

“Pendekatan ini adalah untuk membawa reformasi yang tulen dalam asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan dari segi kehakiman, perundangan persefahaman agama, budaya dan kaum bagi membolehkan kita memacu pertumbuhan dan kekayaan yang mampan serta perkongsian kemakmuran negara,” katanya.

Beliau menambah, Tawaran Jingga bakal didedahkan dari semasa ke semasa yang akan memuatkan rencana dasar, polisi dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.

“Oleh kerana tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) masih sukar diramalkan, maka Manifesto Pakatan juga perlu dirahsiakan sehingga ke satu tarikh yang ditentukan kemudian,” katanya.

Artikel Lain