suria

Motif Lim Guan Eng Isytihar Aset Jadi Tanda Tanya

GEORGE TOWN: Motif Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Exco Kerajaan Negeri mengisytiharkan aset mereka selepas lebih dari tiga tahun mereka berjanji berbuat demikian, telah menjadi tanda tanya.

Setiausaha MCA Negeri, Lau Chiek Tuan berkata, beliau terkejut apabila pentadbiran Lim mengambil masa yang lama untuk menyampaikan janji pilihan raya umum sebelumnya kepada rakyat.

"Mengikut pemahaman saya, mereka hanya perlu mengisi borang pengisytiharan, jadi mengapa mereka melengah-lengahkannya?

"Dan kini mereka memutuskan untuk mengisytiharkan segala-galanya hanya apabila pilihan raya umum semakin dekat.

"Apa pun, saya hanya berharap pengisytiharan dibuat dengan ikhlas dan senarai yang diberikan lengkap dan benar," katanya, Khamis.

Beliau berkata langkah yang dibuat itu seolah-olah lebih untuk menonjolkan publisiti berbanding ketelusan.

Pengerusi Gerakan Negeri Datuk Dr Teng Hock Nan juga mempersoalkan tentang masa pengisytiharan tersebut dibuat.

"Semua parti-parti komponen Barisan Nasional telah menggesa Lim memenuhi janjinya sejak dia mengambil alih kuasa memerintah dengan mengisytiharkan aset rasmi kerajaan negeri.

"Dia banyak berdolak-dalih dan melengah-lengahkannya, dengan memberi alasan keselamatan peribadi tetapi kini apabila tempoh hampir tamat dia membuat pengakuan besar-besaran pula.

"Jika ianya dibuat dari awal, saya akan berkata bahawa dia mengotakan janjinya tetapi apabila dia lewat dalam perkara ini membuatkan saya fikir ianya adalah aksi ngeri untuk mendapatkan publisiti politik," katanya.

Dr Teng juga menggesa Lim mendedahkan aset ahli-ahli exco 'kerana ia merupakan tanggungjawab moral beliau untuk berbuat demikian yang "sering bercakap tentang prinsip (CAT) kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan".

Pada Khamis, Lim, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman dan II, Dr P. Ramasamy dan ahli-ahli Exco Chow Kon Yeow, Phee Boon Poh, Lydia Ong, Lim Hock Seng, Wong Hon Wai, Law Choo Kiang, Danny Law dan Abdul Malik Abul Kassim mengisytiharkan aset mereka.

Artikel Lain