suria

Polis Temerloh Rampas Rokok Seludup Untuk Pekerja Asing

TEMERLOH: Polis Temerloh merampas 479 karton rokok seludup bernilai RM40,000 yang dipercayai untuk dijual kepada pekerja asing di tapak pembinaan sekitar daerah ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superitendan Zundin Mahmood berkata, rampasan dilakukan ketika polis melancarkan operasi membanteras kegiatan perjudian di tapak pembinaan berhampiran Taman Damai Court di sini, pada 7 Januari lepas.

"Dalam serbuan kira-kira 8 malam itu, polis turut merampas 22 pil kuda selain wang tunai dipercayai digunakan untuk pertaruhan judi haram bernilai RM11,000," katanya pada sidang media, di sini Khamis.

Beliau berkata, polis turut menahan lima lelaki yang berjudi termasuk pemilik kereta di mana rokok seludup terbabit ditemui.

Siasatan awal mendapati rokok terbabit diperolehi daripada seorang pembekal di Bahau, Negeri Sembilan dan polis sedang menjejaki lelaki berkenaan, katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis menahan dua lelaki bersama selaras senapang buatan sendiri bagi membantu siasatan kes seorang pengawal keselamatan terkena tembakan peluru sesat baru-baru ini.

Suspek berusia 23 dan 34 tahun itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Temerloh dan kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan cedera dengan senjata tanpa alasan yang sah dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata tanpa lesen.

Dalam kejadian 8 Januari lepas di Ladang Jentar, Kerdau di sini, Wan Mohd bin Fadzil, 28, cedera di tangan dan kaki selepas terkena tembakan peluru sesat ketika menangkap burung bersama rakannya di kawasan berkenaan. - BERNAMA QA MS NM

Artikel Lain