suria

Pengusaha Bas, Syarikat Penerbangan Sedia Tambah Perjalanan Sempena Cuti Tahun Baru Cina

PETALING JAYA: Pengusaha bas dan syarikat penerbangan bersedia menambah perjalanan untuk menampung permintaan penumpang sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina minggu depan.

Memandangkan cuti Tahun Baru Cina jatuh pada hari Isnin dan Selasa, kebanyakan penduduk di ibu kota akan pulang ke kampung mulai 21 Januari ini.

Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan menambah kekerapan penerbangan untuk memenuhi permintaan pelanggannya manakala pengusaha bas menyediakan bas tambahan tiga minggu sebelum cuti perayaan itu.

Tinjauan The Star di terminal bas Pudu Sentral dan Hentian Putra mendapati kebanyakan tiket sudah habis dijual.

Bagaimanapun, tiket bagi perjalanan di sebelah pagi pada Sabtu dan Ahad, masih ada manakala tiket terhad untuk perjalanan pada waktu malam dari Lembah Klang di antara 20 Januari sehingga 23 Januari ini.

"Tiket bas untuk tahun ini habis dijual dengan begitu cepat berbanding tahun lalu.

"Tiket bagi laluan pantai timur di sebelah malam, Jumaat habis dijual minggu lalu.

"Tiket untuk beberapa laluan juga sudah habis dijual kerana kebanyakan pengguna bas membelinya lebih awal," kata seorang penjual tiket di Hentian Putra di sini.

Bagi menampung permintaan orang ramai, pengusaha bas Transnasional akan menambah perjalanan kepada 20 peratus.

Bagaimanapun, syarikat bas Mutiara Ekspres masih menjual tiket untuk kebanyakan laluannya dari Pantai Timur - Kuala Lumpur, Pulau Pinang - Kuantan sempena cuti perayaan itu.

"Namun kami menjangkakan tiket itu akan habis dijual dalam tempoh dua minggu ini.

"Buat masa ini kami tidak merancang untuk menyediakan bas tambahan tetapi akan berbuat demikian jika permintaan meningkat," kata pegawai operasinya, Mohammad Anuar.

Sementara itu, MAS akan menyediakan 32 penerbangan tambahan bermula 17 Januari hingga 1 Februari ini.

Penerbangan itu meliputi 14 laluan pergi balik Kuala Lumpur-Sibu, Kuala Lumpur-Kota Kinabalu (7), Kuala Lumpur-Taipei (6), Kuala Lumpur-Hong Kong (3) dan Kuala Lumpur-Kunming (2).

Sumber berkata, syarikat penerbangan Firefly turut mencatat penjualan tiket yang memberangsangkan di beberapa laluan seperti Krabi dan Phuket di Thailand serta Langkawi.

Firefly juga mengumumkan pelancaran tujuh pakej percutian secara online bermula dari 16 Januari sehingga hujung bulan ini.

AirAsia masih mempunyai tiket untuk penerbangan pada hujung minggu, dua hari sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina, menurut laman web syarikat itu.

Artikel Lain