suria

Najib Tiba Di Afrika Selatan Untuk Lawatan Kerja Dua Hari

PRETORIA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Afrika Selatan pada Sabtu, bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari atas undangan Presidennya Jacob Zuma, yang juga Presiden Presiden Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC).

Najib, yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di Pangkalan Udara Waterkloff di sini pada 9.30 malam waktu tempatan (3.30 pagi Ahad di Malaysia) dan disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Kennedy Jawan dan isteri Josephine Dagang.

Najib dan isteri kemudian dibawa ke Hotel Michelengelo di Johanesburg dan disambut warga kerja Suruhanjaya Tinggi Malaysia serta anggota media Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau.

Pada Ahad, Najib yang pertama kali melakukan lawatan ke negara ini, adalah antara 46 pemimpin negara yang akan berhimpun di Bloemfontein, kira-kira lima jam perjalanan dari Johannesburg untuk menyaksikan detik bersejarah sambutan ulang tahun ke-100 parti pemerintah, ANC.

Menurut Jawan, kehadiran Najib pada sambutan itu melambangkan sokongan Malaysia kepada ANC yang berjuang ke arah pembebasan Afrika Selatan daripada dasar aparteid, yang berjaya dicapai pada 1994.

Beliau berkata sepanjang lawatan itu, Najib dijangka mengadakan perjumpaan dengan Presiden Zuma serta menerima kunjungan Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo Musyoko dan Ketua Menteri Wilayah Free State, Afrika Selatan, Sekgobelo Elias Magashule.

Najib dan isteri dijadual berlepas pulang pada Ahad. - BERNAMA

Artikel Lain