suria

PDRM Lakukan Risikan Demonstrasi 'Kempen Bebaskan Anwar 901' Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan risikan terperinci berhubung demonstrasi 'Kempen Bebaskan Anwar 901' yang dirancang diadakan di ibu kota Isnin ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata ketika ini, PDRM berusaha mengesan pengedar poster, kain rentang, mesej serta blog yang menyeru orang ramai menghadiri perhimpunan haram itu.

"Ini menampakkan bahawa ada orang yang mendalagi perhimpunan ini, bukan sahaja dengan matlamat yang sebenar, tapi ada lagi agenda tersembunyi yang menggugat keselamatan. Ini yang menjadi kerisauan pada polis untuk tangani bagi menjaga keselamatan orang ramai," katanya dalam program Soal Jawab di TV3 malam Rabu.

Demonstrasi itu dikatakan bertujuan menuntut keadilan bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual memberi penghakiman berhubung kes liwat membabitkan beliau pada hari tersebut.

Salleh berkata terdapat juga maklumat bahawa ada kumpulan tertentu bakal digunakan untuk mendatangkan ancaman terhadap keselamatan mereka yang akan hadir pada perhimpunan itu.

"Kumpulan-Kumpulan ini dikerah supaya (perhimpunan) ini berlarutan. Jika ini terjadi, kehidupan rakyat terjejas," katanya yang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung rancangan itu tampil membantu polis.

Salleh berkata risikan juga mendapati perhimpunan itu akan diadakan di kawasan lain.

"Maklumat risikan kita mendapati bukan sahaja di mahkamah sahaja... ada lagi di tempat-tempat di sekitar ibu kota untuk diadakan perhimpunan ini.

"Ia bermatlamat untuk membuatkan negara ini hilang kawalan dari segi keselamatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain