suria

Mayat Wanita Ditemui Dipercayai Mati Dibunuh 3 Hari Lalu

IPOH: Mayat seorang wanita yang ditemui digulung dengan tilam di kawasan belukar berhampiran perkampungan Orang Asli, Juang, Simpang Pulai pada Isnin, dipercayai dibunuh tiga hari lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, hasil bedah siasat Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) mendapati mangsa, Indeer Kaur a/p Jeswant Singh, 23, mati akibat hentakan objek tumpul di bahagian kepala.

"Polis akan mencari keluarga mangsa dan masih menjalankan siasatan punca mangsa dibunuh dan mengesan individu yang terlibat. Namun polis percaya mangsa telah dibunuh di lokasi lain," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Superitendan Shaharon Anuar Abdul Latif yang menggantikan Superitendan Ahmad Nordin Jaafar yang bersara wajib.

Mayat wanita yang sudah berulat itu ditemui oleh seorang lelaki Orang Asli ketika mencari burung pada kira-kira pukul 2.30 petang.

Orang ramai yang kehilangan saudara mara dan kenalan diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan di talian 05-2451222. - BERNAMA

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain