suria

Penggiat Seni Reka Gembira K'jaan Komited Mengenegahkan Seni

KUALA LUMPUR: Penggiat seni tanah air melihat kerajaan semakin komited untuk membantu golongan itu memperluas dan mengembangkan hasil karya seni mereka.

Antaranya melalui penganjuran sehari Program Lebuh Seni oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sempena Karnival Ambang Tahun Baru 2012 di Jalan Mahkamah Persekutuan berdekatan Dataran Merdeka hari ini.

Program yang sama turut diadakan pada setiap bulan berhampiran Restoran Warisan berhampiran Dataran Merdeka.

Program Lebuh Seni hari ini melibatkan sebanyak 50 gerai yang antaranya mempamerkan demostrasi seni lukisan, seni halus, pameran produk kraf dan mencanting batik.

Pengukir, Hassan Bakri, 61, berkata melalui bantuan yang disediakan oleh kementerian kepada penggiat seni telah membolehkan golongan seni memperluaskan hasil keluaran dan memberi sumber pendapatan kepada mereka.

"Masih banyak barangan kraf tempatan kita yang belum dipromosikan secara meluas," kata beliau yang pernah mengukir beberapa peralatan seperti pisau, pedang dan tukul untuk produksi beberapa filem tempatan.

Hassan, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri seni ukiran alam, berpendapat industri ukiran tidak begitu diminati golongan muda.

"Golongan muda masih tidak berminat kerana menganggap ia susah, kalau datang pun mereka akan belajar tetapi bila susah sikit mereka tak datang dah," katanya kepada Bernama.

Ahmad Fuad Shahminan, 22, yang baru mula bertapak dalam bidang seni lukisan, berkata kerajaan kini memandang serius untuk membantu ramai penggiat seni terutama golongan muda dalam bidang itu.

"Masih ramai yang tidak tahu mengenai lukisan seperti ini kerana ia baru sahaja mula berkembang berbanding negara lain, perlu adakan promosi yang lebih besar," katanya.

Razali Shafie, seorang pengukir kayu dan tembaga berkata program-program yang dianjurkan oleh kerajaan dapat membantu pengusaha kraftangan yang tidak dapat memasuki pasaran yang lebih besar untuk mengetengahkan produk mereka.

Sementara itu, seorang pengunjung tempatan, Sharifah Aisyah Mustapha, 35, memuji program itu kerana orang ramai dan pelancong dapat melihat sendiri kreativiti dan kebolehan pengkarya tempatan dalam bidang seni.

"Program seperti ini dapat membuka mata orang ramai untuk menghargai karya tempatan kita dan ia bukan hanya perlu diadakan di Kuala Lumpur malah di negeri lain juga," kata suri rumah itu.

Mohd Shahril Pandak Lamat, 26, pula berharap program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia mampu memupuk nilai kebudayaan dan kesenian di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain