suria

Raja Muda Mahu Umat Islam Jadi Penggerak Pemodenan Dunia Dan Negara

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu umat Islam menjadi penggerak pemodenan dunia dan negara bagi mengembalikan keagungan Islam.

Menurut baginda sebagaimana dunia yang sentiasa berubah daripada segenap aspek, umat Islam juga perlu berubah kepada kehidupan yang lebih baik tanpa terpesong daripada landasan agama.

Bertitah pada majlis penyampaian sumbangan zakat perniagaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad di Galeri Diraja di Arau dekat sini hari ini, baginda bertitah umat Islam tidak seharusnya menjadi penonton kepada arus pembangunan dan pemodenan dunia dan negara sedangkan mereka berupaya menjadi penggeraknya.

"Umat Islam perlu menjadi pemandu dan penggerak kepada kehidupan manusia sejagat. Mereka tidak boleh kekal dan selesa dengan keadaan yang ada sehingga akhirnya umat Islam menjadi lemah," titah baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin bertitah umat Islam perlu sentiasa bersemangat untuk berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik supaya dapat mengawal semua perubahan dan keadaan.

Baginda juga mahu golongan muda dan remaja Islam di negara ini berusaha mencabar kemampuan diri dan menggunakan keupayaan yang mereka miliki dengan optima bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

"Mungkin kita hanya menggunakan 10 peratus sahaja daripada keupayaan tetapi jika ada cabaran, kita mungkin mampu menghadapinya dengan baik kerana kemampuan itu sudah ada dalam diri kita," titah baginda.

Pada majlis itu, Raja Muda Perlis mewakili MAIPs menerima sumbangan zakat perniagaan bagi tahun 2010 berjumlah RM125,773.8 yang disampaikan Ketua Bahagian Penasihat Syariah dan Zakat Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Johari Jonid yang juga Penolong Naib Presiden bank itu.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Husin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain