suria

MCPF Saran Agensi Kerajaan Terima Bekas Banduan

KAJANG: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyarankan supaya agensi kerajaan memberi peluang kepada bekas banduan untuk diterima bekerja dalam sektor awam setelah tamat tempoh latihan di penjara.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata hampir 90 peratus bekas banduan (penagih dadah) yang telah bebas dari penjara tidak mendapat pekerjaan kerana status latar belakang banduan yang akhirnya menjadikan mereka kembali terjebak dengan tabiat lama.

Lee juga mencadangkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai contoh, dapat membuka peluang pekerjaan untuk golongan ini kerana mereka telah dilengkapi dengan pelbagai latihan pekerjaan semasa di penjara yang mampu menjadikan mereka sebagai tenaga kerja yang baik.

"Tindakan ini dapat menjadi contoh kepada sektor swasta untuk memberi tempat kepada bekas banduan ini untuk mencari rezeki agar mereka ini tidak dipandang hina dan diterima masyarakat.

"Melalui PBT, bekas banduan ini boleh diupah melakukan kerja-kerja pembersihan seperti membersihkan longkang, memotong rumput dan sebagainya," katanya kepada pemberita semasa kunjungan hormat Exco MCPF ke Jabatan Penjara Kajang di sini, Khamis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain