suria

Pengedar Dadah Diberkas, Polis Rampas Heroin Bernilai Lebih RM132,000

KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri dalam operasi di persimpangan jalan di Felda Chanis, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Muadzam Shah.

Dalam kejadian 7.45 petang semalam itu, polis turut merampas dadah dipercayai jenis heroin seberat 663.1 gram bernilai RM132,620, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Thoon Kuan, hari ini.

Kedua-dua suspek yang dikesan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva sebelum itu merempuh kenderaan polis setelah dihalang di persimpangan jalan tersebut.

"Pemandu kereta terbabit sempat melarikan diri, manakala seorang suspek berjaya ditahan," katanya.

Yap berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menemui dua beg plastik berwarna ungu dipercayai mengandungi dadah jenis heroin.

Siasatan awal ke atas suspek yang berusia 22 tahun dari Taman Skudai, Johor Baharu itu pula mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Suspek yang cedera di kepala dan belakang itu kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan dia turut ditahan reman selama seminggu bermula hari ini.

"Kita kini sedang memburu suspek yang melarikan diri itu dan identitinya juga sudah dikenal pasti," katanya yang menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain