suria

KPDNKK Rampas Petrol, Diesel RM182,000 Di Juru

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya merampas 20,000 liter petrol dan 80,000 liter diesel bernilai RM182,000 dalam satu operasi di sebuah gudang menyimpan minyak dekat Ladang Juru di sini.

Operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu disertai 18 pegawai termasuk 10 penguat kuasa KPDNKK yang diketuai Penolong Pengarah Unit Kawalan Bahagian Petroleum kementerian itu Mohamad Hashim.

Mohamad berkata serbuan yang bermula 12 tengah hari itu Selasa, hasil intipan KPDNKK sejak seminggu lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati semua petrol yang disimpan di bawah tanah itu tidak mempunyai lesen sah.

"Manakala 80,000 liter diesel yang dirampas pula disimpan dalam sebuah tangki yang tidak dilesenkan," katanya kepada pemberita selepas operasi itu petang Selasa.

Mohamad berkata 10 pekerja termasuk pemilik gudang berkenaanm, yang berusia lingkungan 30 dan 50 tahun, ditahan.

Beliau berkata siasatan mendapati gudang itu beroperasi sejak 10 tahun lepas.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 7(4) dan Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Mohamad berkata jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi individu yang terlibat, manakala bagi syarikat pula, denda tidak lebih RM250,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain