suria

Umno Tiada Kaitan Dengan Pertelingkahan Terbuka Pemimpin Pembangkang:Ahmad Maslan

PONTIAN: Umno tidak mempunyai sebarang kaitan dalam pertelingkahan terbuka yang kini berlaku di antara beberapa pemimpin kanan pakatan pembangkang, kata ketua penerangannya Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata pertelingkahan yang berlaku sesama pemimpin pembangkang itu merupakan bukti jelas bahawa pakatan pembangkang sedang berhadapan dengan krisis.

"Apa yang berlaku pada pembangkang seperti Lim Boo Chang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pertelingkahan di antara Karpal Singh dan Dr P.Ramasamy serta Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa adalah petanda krisis terkini yang berlaku di dalam pembangkang.

"Ia tiada kaitan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN). Jikalau mereka keluar daripada PKR dan masuk Gerakan, ia adalah tarikan kepada apa yang kita buat," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Ahmad berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan tanaman semula kelapa sawit dan getah oleh Risda kepada pekebun-pekebun kecil Parlimen Pontian di Parit Haji Sapran.

Beliau mengulas dakwaan setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam bahawa Hassan, yang merupakan exco Selangor dan Nasharuddin, bekas setiausaha agung PAS, telah 'terheret' ke dalam agenda Umno untuk melemahkan parti itu.

Menurut Ahmad, tindakan Lim, Hasan dan Nasharuddin adalah di atas kesedaran mereka sendiri terhadap pelbagai kesalahan yang telah dilakukan oleh parti-parti pembangkang.

"PAS tidak boleh menyalahkan Umno di atas tindakannya sendiri 'mendakap erat' DAP daripada segi falsafah politik serta menukar matlamatnya daripada penubuhan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan," katanya.

Beliau juga menyifatkan kempen terbaru pembangkang menerusi gerakan 'Asal Bukan Umno' (ABU), sebagai ketinggalan zaman dan tidak lagi berkesan untuk menggugat Umno.

Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berlainan setelah melaksanakan pelbagai transformasi politik dan meminda perlembagaan parti, dengan pemimpin-pemimpinnya sentiasa berada dekat dengan rakyat, katanya.

"Malah ABU boleh dikatakan 'Aku Bersama Umno' hasil daripada pelbagai perubahan yang telah diakukan oleh parti," kata Ahmad. - BERNAMA

Artikel Lain