Empat Cedera Dalam Kebakaran Kecil Di Loji Petronas Kerteh - Semasa | mStar

Empat Cedera Dalam Kebakaran Kecil Di Loji Petronas Kerteh

KUALA TERENGGANU: Empat pekerja kontrak yang sedang menjalankan kerja baik pulih di salah sebuah loji Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd cedera dalam satu kebakaran kecil petang semalam.

Kebakaran di kilang Crude Distillation Unit (CDU) di Kerteh, Kemaman yang dalam proses penyelenggaraan dan baik pulih, dipadamkan dalam masa 15 minit oleh Pasukan Keselamatan Petronas sendiri.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Zulkifly Mohd Ismail berkata kebakaran pukul 5 petang itu berlaku secara tiba-tiba ketika sekumpulan pekerja kontrak sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di loji itu.

Katanya dua daripada pekerja berkenaan, Mohd Ayub Abdullah, 22, dan Mohd Zakaria And Ghani, 28, melecur di muka dan tangan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan.

"Kecederaan yang dialami tidak serius, saya sempat melawat mereka pagi tadi dan mereka dalam keadaan stabil. Mungkin dua tiga hari lagi mereka dibenarkan pulang," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Katanya, dua lagi pekerja kontrak tersebut, identiti belum diperolehi, hanya cedera ringan dirawat di Hospital Daerah Dungun.

Zulkifly berkata siasatan mengenai punca sebenar kebakaran itu masih lagi dijalankan dan kebakaran berkenaan tidak menyebabkan kerosakan besar loji tersebut.

Katanya pihaknya sentiasa berusaha mempertingkatkan aspek keselamatan loji-loji di situ bagi mengelak kejadian serupa berulang.

"Usaha kita untuk meningkatkan aspek keselamatan tidak pernah berhenti, ia berterusan sebab kita tak mahu sesiapa pun tercedera," katanya.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan media sempena persaraannya bermula esok. Tempatnya akan diganti oleh Wan Hasnan Abdullah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Mawi meninggal dunia