suria

Risda Bakal Majukan 51,000 Hektar Tanah Untuk Tanaman Getah

TEMERLOH: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan memajukan seluas 51,000 hektar lagi tanah untuk tanaman getah di seluruh negara tahun depan.

Pengerusi Risda Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM200 juta bagi projek tersebut.

"Masa depan komoditi getah dan sawit dilihat cerah kerana harganya baik di pasaran global berikutan semakin banyak negara-negara membangun dan pembuatan di dunia, kini menggunakan getah asli berbanding getah tiruan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata sebagai sebuah negara pengeluar terbesar getah asli bermutu di dunia, mutu keluaran getah negara perlu dikekal.

Rahim berkata beliau telah mengarahkan pegawai-pegawai Risda supaya memantau dan memastikan pekebun pekebun kecil menggunakan benih-benih bermutu tinggi serta pembajaan yang betul bagi mendapatkan hasil yang baik.

"Pekebun kecil perlu meningkatkan produktiviti mereka berikutan harga getah di pasaran global telah meningkat, sekaligus melonjakkan taraf penghidupan mereka agar lebih baik daripada masa lalu," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain