suria

Tiada Aduan Peniaga Naikkan Harga Jualan Semasa Lima 2011

LANGKAWI: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memeriksa sebanyak 1,271 premis perniagaan sejak Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima 2011) yang berlangsung mulai Selasa lepas sehingga Sabtu.

Ketuanya bagi cawangan Langkawi, Azmi Dan berkata, antara premis yang diperiksa ialah pasar raya, hotel, restoran dan kedai makan di pulau peranginan itu bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga jualan.

Beliau memberitahu Bernama di sini pada Ahad bahawa pihaknya juga tidak menerima aduan daripada orang ramai mengenai tingkah laku peniaga yang mengenakan caj tidak munasabah dalam tempoh itu.

Sepanjang LIMA 2011 berlangsung, bahagian itu membuka kaunter aduan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bagi memudahkan pelancong dan orang ramai membuat aduan, katanya.

Menurutnya, 30 pegawai penguatkuasa dari Langkawi dan cawangan lain terlibat dalam operasi pemeriksaan. - BERNAMA

Artikel Lain