suria

Anugerah Untuk Dr Hasan Ali Satu Pengiktirafan Kepada PAS Bukan Untuk Kahwinkan PAS & Umno

SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad menyifatkan, penganugerahan darjah kebesaran "Datuk Paduka Mahkota Selangor" kepada Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Ali sempena sambutan hari keputeraan Sultan Selangor minggu ini adalah satu pengiktirafan kepada parti itu.

"Ia bukanlah bertujuan menghargai usaha beliau (Hassan) untuk mengahwinkan parti Islam itu dengan Umno.

“(Tetapi) Ia hanya satu anugerah, berdasarkan tafsiran saya, satu pengiktirafan diberi untuk mewakili parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat,” kata Khalid pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Semalam, akhbar Utusan Malaysia menerusi tulisan kolumnis tetapnya membuat andaian, anugerah tersebut perlu dilihat sebagai satu usaha untuk mengahwinkan PAS dan Umno demi perpaduan umat Islam.

Penulis kolum tersebut Zaini Hassan menegaskan dalam tulisannya itu bahawa Hasan perlu memainkan peranan “melakukan perkahwinan” antara PAS-Umno.

Nama Hasan sering dikaitkan oleh Utusan sebagai orang “penting” dalam mewujudkan kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS selepas pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun PAS secara rasmi telah menolak syor kerajaan perpaduan dalam tiga muktamar lalu dengan Hasan, antara lain telah menjadi sasaran kritikan para perwakilan.

Selepas muktamar agung PAS Jun lalu, kedudukan Hassan sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor telah diambil alih oleh seorang yang tidak begitu dikenali di luar parti itu iaitu Dr Abd Rani Osman, Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Meru.

Namun begitu dalam kolumnya itu, Zaini berhujah bahawa di Selangor, faktor Dr Hasan masih lagi penting kerana pengikutnya di dalam PAS sangat besar dan pengaruhnya di kalangan penjawat awam Melayu dalam kerajaan Selangor juga amat besar.

Ini kata Zaini memberi kelebihan kepada Dr Hasan bertindak sebagai pemangkin kepada perkahwinan PAS dan Umno.

Sementara itu, Khalid yang juga ketua PAS Shah Alam dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat mengulas, Sultan Selangor telah bertindak adil kerana telah mengurniakan pingat kepada seorang pemimpin dari setiap komponen Pakatan Rakyat.

Pada tahun pertama, katanya, baginda Sultan telah menganugerahkan pingat "Datuk Seri" kepada (Menteri Besar) Tan Sri Khalid Ibrahim yang mewakili PKR dan pada tahun kedua pula menganugerahkan pingat "Datuk" kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Kim yang mewakili DAP.

Tahun ini, menurut Khalid, tahun ketiga pentadbiran, dan anugerah diberikan kepada Datuk Dr Hasan Ali, sebagai bekas pesuruhjaya PAS negeri yang juga Exco kanan negeri.

Artikel Lain