suria

Sarjan dan Lans Koperal Polis Mengaku Tidak Salah Tuduhan Rasuah

JOHOR BAHARU: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin terhadap tuduhan menerima rasuah RM300 sebagai dorongan tidak menahan dua lelaki yang disyaki memiliki dadah, dekat Segamat, tiga tahun lepas.

Lans Koperal Khamis Jamangin, 40, dan Sarjan Ahmad Dzamanhuri Abdul Rashid, 49, yang bertugas di Balai Polis Segamat minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Madihah Hairullah.

Mereka didakwa dengan niat bersama menerima wang suapan terbabit daripada Lee Long Jian, 20, sebagai dorongan untuk tidak menahan lelaki berkenaan dan rakannya, Pang Jin Jie, 20, yang disyaki memiliki dadah di tempat letak kereta Pusat Bowling, Segamat, pada 5.30 petang 16 Okt 2008.

Khamis turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerima rasuah RM500, juga daripada Lee di Jalan Nagasari 23, Segamat Baru, Segamat, pada 11.40 malam hari berikutnya, sebagai dorongan tidak menahannya dan Pang yang disyaki memiliki dadah.

Hakim Madihah membenarkan Khamis dan Ahmad Dzamanhuri diikat jamin RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 7 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes dan bagi membolehkan kedua-dua tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Faizal Sadri. - BERNAMA

Artikel Lain