suria

Kuantan Belum Sedia Bergelar Bandar Raya

KUANTAN: Kuantan belum bersedia untuk bergelar bandar raya walaupun kriteria untuk menukar statusnya daripada peringkat perbandaran kepada bandar raya sudah dipenuhi sejak tahun 2008.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata orang ramai khususnya penduduk di Kuantan itu sendiri belum bersedia menerima status itu selain beberapa masalah lain.

"Kita tidak ghairah untuk naik taraf menjadi bandar raya dan orang ramai belum bersedia menerima sesuatu yang baru seperti itu walaupun kriterianya sudah lama kita capai untuk Kuantan bergelar bandar raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chang Hong Seong (BN-Teruntum) mengenai perancangan kerajaan bagi memastikan bandar Kuantan mencapai status bandar raya di persidangan ketiga penggal keempat Dewan Undangan Negeri Pahang ke-12 di wisma Sri Pahang di sini Isnin.

Menurut Adnan, masalah-masalah setempat seperti sampah sarap, longkang tersumbat dan kekurangan serta kerosakan kemudahan asas yang sering berlaku patut diselesaikan terlebih dahulu sekiranya status bandar raya ingin dicapai oleh Kuantan.

Katanya wakil-wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan patut menangani masalah itu sebaik mungkin memandangkan ia sentiasa mendapat aduan daripada rakyat.

"Selesaikan dulu masalah-masalah rakyat, baru jadi bandar raya dan biarlah Kuantan bersih serta selesa didiami rakyat walaupun tidak bergelar bandar raya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata kualiti liputan selular di laluan terowong Genting Sempah di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ditingkatkan lagi dengan pemasangan 'indoor micro base-station'.

Katanya pemasangan itu dilakukan oleh syarikat penyedia perkhidmatan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia dan MTD Capital Berhad.

Selain itu katanya, sebanyak 29 menara dibina bagi meluaskan liputan perkhidmatan selular di sepanjang laluan LPT.

"Syarikat perkhidmatan selular iaitu Celcom, Maxis dan Digi turut melaksanakan ujian di stesen pemancar masing-masing dari masa ke semasa, dan akan menambah kapasiti penggunaan megikut keperluan semasa bagi memastikan kualiti liputan menepati tahap perkhidmatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain