suria

Perhimpunan Agung Umno: MT Disaran Tubuh Jawatankuasa Pemantau

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas di bawah jawatankuasa disiplin parti itu bagi melakukan pemantauan semasa pilihan raya umum akan datang.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, jawatankuasa itu perlu bertindak sebagai ejen pemantau sekiranya wujudnya golongan pengkhianat dalam parti.

"Kita mahu lembaga disiplin ambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang bertindak melakukan sabotaj kepada parti...mereka ini pengkhianat.

"Kita tak mahu ada yang jadi pengkhianat terutama bagi yang mungkin kecewa apabila tidak dipilih menjadi calon," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di PWTC, pada Khamis.

Dalam pada itu Syed Ali turut mencadangkan agar MT mengambil inisiatif untuk menangani isu perbezaaan pendapat antara bekas-bekas Perdana Menteri dan Presiden iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Kami berharap MT ambil inisiatif untuk bertemu dan berbincang dengan kedua-dua pemimpin ini bagi memastikan Umno akan terus mantap terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Bagaimanapun Syed Ali berkata, kritikan Dr Mahathir perlu dilihat sebagai teguran membina demi masa depan parti.

"Tun (Dr Mahathir) kritik agar kita lebih kuat. Beliau berbuat demikian kerana beliau begitu sayangkan parti ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain