suria

PPP Akan Hantar Semula Cadangan Senarai Calon

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) akan menghantar semula cadangan senarai calonnya bagi pilihan raya umum akan datang termasuk cadangan yang dibuat oleh pemimpin negeri parti itu.

Presiden PPP, Datuk Seri Dr M. Kayveas berkata, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah meminta PPP untuk mengemukakan cadangan yang lebih terperinci selepas meneliti cadangan awal yang dikemukakan pada 21 Oktober lalu.

Beliau berkata, senarai cadangan awal itu tidak termasuk nama beliau dengan PPP bercadang untuk bertanding di 14 kerusi negeri dan enam kawasan Parlimen.

"Saya tidak mengemukakan nama saya kerana saya telah menyerahkan kembali kerusi saya kepada Gerakan, mereka bertegas mahukan semula kerusi itu. Jadi pada masa ini saya tidak mempunyai sebarang kerusi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan majlis tertinggi parti itu di sini, Jumaat.

Kayveas berkata, senarai baru itu mungkin melibatkan beberapa penyesuaian termasuk pertukaran kawasan, tetapi ia bergantung kepada cadangan pemimpin parti negeri.

Beliau yang menerajui PPP sejak 1993 berkata, perkara yang beliau beri perhatian sekarang ialah membuka peluang kepada pemimpin yang telah lama berkhidmat kepada parti untuk bertanding walapun keputusan penuh bergantung kepada pucuk pimpinan BN.

"Mereka (pemimpin PPP) perlu mengambil bahagian, ramai daripada mereka telah bekerja bertahun-tahun dan sedia untuk berkhidmat dan pergi lebih jauh lagi," katanya.

Mengenai cadangan penggabungan dengan Gerakan, beliau berkata ia masih terbuka.

"Saya telah menawarkan kepada Gerakan untuk bergabung tetapi bukan sekarang tetapi pada 2005, tetapi mereka menolak tawaran itu secara terbuka dan kami dikritik kerana membuat tawaran seumpama itu. Tawaran itu masih ada tetapi terpulanglah kepada mereka," kata Kayveas.

Artikel Lain