suria

KPT Rancang Tubuh Politeknik Universiti menjelang 2015

GEORGE TOWN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merancang menubuhkan politeknik universiti yang setaraf dengan Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) menjelang 2015.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Pengajian Politeknik KPT Amir Md Noor berkata dengan penubuhan politeknik universiti kelak, institut pengajian itu akan menawarkan pengajian ijazah dan memikul tangungjawab sebagai pelopor dalam pendidikan teknikal tempatan.

"Ia masih berada di peringkat rancangan, namun inisiatif untuk menaik taraf politeknik telah digariskan di bawah pelan strategik dan transformasi pendidikan KPT," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Penyelidikan dan Inovasi dalam Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional di sini, Rabu.

Beliau berkata langkah menubuhkan politeknik universiti adalah selaras dengan peredaran masa dan lepasan politeknik universiti itu tidak akan menghadapi masalah mencari pekerjaan kerana kelulusan mereka mempunyai nilai pasaran yang tinggi dalam pelbagai industri.

Amir berkata berdasarkan maklumat laporan pengesanan kementerian, sebanyak 77.1 peratus lulusan politeknik di seluruh negara telah mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang selepas enam bulan menamatkan pengajian mereka.

Katanya sehingga kini sebanyak 89,000 pelajar sedang menuntut di 30 buah politeknik di seluruh negara.

"Kebelakangan ini, permohonan untuk mengikuti pengajian di politeknik mendapat sambutan hangat dan ini membuktikan politeknik adalah setanding dengan IPT lain di negara ini," katanya.

Persidangan dua hari yang pertama kali diadakan itu disertai oleh 235 peserta dari pelbagai IPT, Politeknik, Kolej Komuniti dan beberapa agensi lain.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain