suria

Lelaki Disamun Suspek Kereta Sapu

KUANTAN: Seorang lelaki kerugian RM400 selepas disamun gara-gara menggunakan perkhidmatan "kereta sapu", menurut Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri.

Mangsa, 24, yang kerugian wang tunai dan telefon bimbit bagaimanapun sempat melarikan diri dan melepaskan satu tumbukan kepada salah seorang suspek selepas dipaksa mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Sebelum kejadian, katanya mangsa yang bekerja di sebuah hotel di sini sedang menunggu bas di Jalan Bukit Ubi pada 5.30 petang semalam.

"Mangsa dihampiri dua suspek, menawarkan perkhidmatan "kereta sapu" untuk menghantarnya pulang ke rumahnya di Taman Impianku, dekat sini," kata beliau kepada pemberita di sini, Selasa.

Mangsa yang ditawarkan tambang RM5, kemudiannya menaiki kereta kedua-dua suspek berkenaan.

Suspek kemudiannya membawa mangsa ke Bukit Goh dan memberhentikan kenderaan di kawasan gelap sebelum kedua-dua suspek mengacukan pisau dan besi ke arah mangsa.

"Mangsa menyerahkan telefon bimbit, wang tunai dan kad ATM miliknya setelah diminta.

"Suspek kemudian mengarahkan mangsa mengeluarkan wang dan dibawa ke ATM di sebuah kedai serbaguna Taman Impianku," katanya.

Noor Asyikin berkata selepas tiba di situ, mangsa yang keluar dari kereta bertindak melepaskan tumbukan ke muka salah seorang suspek sebelum melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain