suria

Dakwat Kekal: Pembangkang Sokong Pinda Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang pada Selasa menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan dakwat kekal digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Bagaimanapun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan berkenaan dibuat dengan syarat draf pindaan Perlembagaan berhubung penggunaan dakwat kekal itu dibentangkan di Parlimen pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini yang sedang berlangsung.

"Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sedia terima (pinda Perlembagaan) dengan syarat ia dilakukan segera.

"Kita cadangkan Peguam Negara menyediakan draf segera untuk meminda peruntukan berkenaan dengan syarat ia dibentangkan di Parlimen dalam sesi ini supaya tidak dijadikan helah atau dalih untuk lengahkan dan gagalkan usaha untuk guna dakwat kekal. Kita sanggup sokong bagi dapatkan undi dua pertiga," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini.

Bagaimanapun menurut Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, sekiranya pindaan itu dibuat pada tahun depan, ia merupakan tindakan yang sia-sia.

"Kalau nak pinda Perlembagaan tahun depan iaitu selepas pilihan raya, ia tidak bermakna," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat pada sesi ini dijadual berakhir pada minggu pertama Disember depan.

Pada pilihan raya umum 2008, SPR meluluskan penggunaan dakwat kekal buat pertama kalinya bagi meyakinkan rakyat terhadap ketelusan suruhanjaya itu dalam memastikan pilihan raya bersih dan adil.

Bagaimana beberapa hari sebelum hari pengundian pada 8 Mac 2008, SPR memansuhkan rancangan menggunakan dakwat kekal selepas mendapat nasihat daripada segi perundangan termasuklah keperluan menggubal satu undang-undang yang membenarkan seorang pengundi yang tidak mahu kuku atau jari telunjuknaya ditandakan dengan dakwat, diberikan kertas undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

12 Calon Duduki SPM Di Hospital

Artikel Lain