suria

Tiada Permit Dikeluarkan Bagi Perhimpunan Di Taman Gelora, Kuantan Esok

KUANTAN: Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang akan diadakan di Taman Gelora di sini, Ahad, kerana ia jelas melanggar undang-undang.

Sambil mengesahkan bahawa tiada permit dikeluarkan untuk perhimpunan tersebut, beliau berkata penganjurnya tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan itu.

"Anggota keselamatan akan diletakkan di kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang masalah," katanya.

Pada 9 Oktober lepas, satu perhimpunan dikenali Himpunan Hijau 109 anjuran pihak pembangkang di kawasan sama bagi membantah projek tersebut gagal meraih sokongan ramai.

Hanya kira-kira 1,000 orang yang hadir pada perhimpunan tersebut berbanding sasaran awal yang ditetapkan pembangkang iaitu 10,000 orang.

Hari ini, hampir 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pahang membuat laporan polis berhubung perhimpunan haram itu.

Laporan polis oleh NGO termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Belia 4B dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) dibuat di Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan kira-kira 2.30 petang Sabtu.

Wakil kumpulan NGO tersebut, Muhammad Faiz Hashim yang juga ketua Penerangan Perkasa Pahang berkata, pihaknya mendapati terdapat risalah yang diedarkan bagi menghasut orang ramai berhimpun secara haram bagi membantah isu pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Syarikat Lynas Corporation Ltd di Gebeng dekat sini.

Katanya, perhimpunan haram tersebut boleh menjejaskan keharmonian dan mencetuskan suasana tidak tenteram kepada penduduk Kuantan.

"Jika pihak penganjur masih berdegil untuk meneruskan perhimpunan, kami juga bersedia mengadakan perhimpunan untuk membantah tindakan mereka," katanya kepada pemberita. -BERNAMA

Artikel Lain