suria

Mudahnya Menjalankan Perniagaan Di Malaysia - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia telah mencapai kemajuan yang kukuh dalam menjadikan negara ini lebih mudah untuk memulakan perniagaan.

Selain itu, katanya, Malaysia juga berkongsi kedudukan pertama di dunia dari segi mendapat kemudahan pinjaman kredit oleh syarikat-syarikat perniagaan.

Menurut Bank Dunia, Malaysia adalah antara yang teratas di dunia dalam mengekalkan kadar kos import pada tahap yang rendah - suatu yang penting memandangkan wujudnya tekanan sebenar pada kos sara hidup rakyat, katanya.

"Kita telah beranjak dari kedudukan nombor 23 pada tahun lepas (indeks 2011) ke nombor 18 tahun ini (indeks 2012). "Sememangnya banyak lagi yang perlu kita lakukan tetapi bagi saya, prestasi ini jelas menunjukkan bahawa segala usaha dan kerja keras rakyat Malaysia selama ini untuk menjadikan negara kita lebih selesa dan maju telah berjaya menunjukkan kesan yang sangat menggalakkan," katanya dalam blognya, www.1malaysia.com pada Sabtu.

Dalam laporan kajian bagi tahun 2012 oleh Bank Dunia, Malaysia dilaporkan telah mengukuhkan kedudukannya pada tempat 20 teratas.

Perdana Menteri berkata Belanjawan 2012 merupakan satu satu langkah yang diambil bagi mengukuhkan ekonomi negara dan menyediakan keadaan yang akan terus membuat pelabur asing melihat Malaysia sebagai hub serantau atau mungkin global.

Dari segi domestik, Najib berkata Malaysia perlu membangun dan melaksanakan amalan-amalan terbaik yang dapat memastikan pertumbuhan jngka panjang melalui inovasi, pemikiran kreatif dan peningkatan produktiviti.

"Kita mesti mencari cara untuk meningkatkan pengeluaran secara berterusan, memaksimumkan sumber, mengurangkan pembaziran dan semua ini harus kita lakukan dengan cara yang kreatif.

"Inovasi dan kreativiti dapat menjana perkembangan pemimpin-pemimpin industri serta ekonomi yang kukuh dan kita mesti turut sama," katanya.

Najib berkata Belanjawan yang diumumkan di Parlimen bulan lepas mensasarkan bantuan kepada para inovasi Malaysia - antaranya insentif cukai yang menarik bagi perintis dalam bidang kewangan Islam, satu bidang di mana Malaysia sudahpun menjadi pelopor dunia.

Belanjawan itu menjanjikan dana tambahan yang ketara bagi pembangunan luar bandar kerana setiap jalan dan pelabuhan yang dibina membuka peluang perniagaan baru bagi rakyat Malaysia, katanya.

Najib berkata Belanjawan itu juga berdasarkan kepada nilai-nilai 1Malaysia iaitu pertumbuhan dan kemajuan ekonomi adalah seharusnya untuk faedah semua rakyat Malaysia.

"Belanjawan saya juga melibatkan beberapa pengetatan fiskal, dengan menggunakan pertumbuhan ekonomi sebagai cara untuk merendahkan tahap pinjaman keseluruhan.

"Tetapi saya juga pasti bahawa kita tidak boleh menyekat pinjaman dengan terlalu ketat dan cepat kerana kita akan menghadapi risiko kejatuhan ekonomi ke tahap genangan atau kemelesetan. Ini akan bererti golongan berpendapatan rendah akan membayar kos yang paling tinggi," katanya.

Katanya dua cara akan dilakukan bagi memastikan ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul bermakna pengukuhan sektor swasta dan golongan usahawan diberikan lebih banyak peluang.

Pertama, dengan pembaharuan yang sedang dan akan terus dilakukan termasuk pengumuman saya mengenai reformasi perkhidmatan awam dengan membantu mereka yang ingin mencapai kejayaan, katanya.

"Oleh sebab itu, bantuan tambahan diberikan kepada pelajar di pelbagai peringkat dan sektor-sektor baru dalam eskonomi perkhidmatan telah dibuka termasuk kejuruteraan, perkhidmatan guaman dan telekomunikasi untuk pelaburan asing," katanya.

"Usahawan Malaysia akan lebih mudah bersaing untuk mendapatkan dana pada peringkat global dan saya amat menggalakkan mereka untuk berbuat demikian," katanya.

Keduanya, Najib berkata sektor swasta boleh diperkukuhkan dengan menarik lebih banyak pelaburan asing kerana ia dapat menyokong pemodenanan dan pertumbuhan serta membantu mengintegrasikan ekonomi negara dengan negara-negara maju.

Pelaburan asing juga akan meningkatkan persaingan dan seterusnya membantu mengekalkan harga rendah serta memacu inovasi dan meningkatkan tahap kemahiran di Malaysia dan menjadikan pekerjaan di sektor yang berhadapan dengan eksport lebih terjamin, katanya.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita berkongsi tanggungjawab untuk tidak menanggung risiko dengan masa hadapan kita.

"Walaupun saya tidak dapat berjanji untuk menyelesaikan krisis Eurozone ataupun meredakan bencana banjir di Thailand, namun saya berjanji bahawa apa yang saya mampu lakukan akan dilaksanakan dengan penuh keprihatinan agar kestabilan ekonomi kita tidak terancam," jelasnya. -BERNAMA

Artikel Lain