suria

Mesin ATM Di Taman Midah Dilarikan, Bank Rugi Lebih RM300,000

KUALA LUMPUR: Sebuah bank di Taman Midah, Cheras kerugian kira-kira RM316,000 apabila satu daripada lapan mesin juruwang automatik (ATM) dilarikan sekumpulan individu awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata kejadian itu disedari kira-kira pukul 3 pagi, apabila kereta peronda polis yang lalu di kawasan tersebut melihat dua bahagian cermin yang menempatkan mesin berkenaan pecah.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan mesin ATM itu dilarikan dengan cara mengheretnya menggunakan kenderaan berat.

"Kedudukan mesin yang terletak berhadapan dengan pintu masuk memudahkan suspek melarikan mesin itu. Kemungkinan mesin itu diheret dengan menggunakan lori atau kenderaan jenis pacuan empat roda," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Mohan Singh berkata siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kegiatan itu dilakukan oleh lima hingga enam lelaki berusia lingkungan 30-an.

"Kita percaya mereka melakukan kegiatan itu dengan hanya mengambil masa lima hingga 10 minit, dan kesemua suspek tidak memakai penutup muka (topeng) bagi menyembunyikan identiti mereka.

"Siasatan awal juga mendapati alat penggera tidak berfungsi dan premis ketika itu tidak diawasi oleh pengawal keselamatan. Bagaimanapun, kita sedang meneliti rakaman CCTV di dalam dan luar premis itu," katanya. Mohan Singh berkata mesin itu ditemui semula di Hulu Klang, Ampang dekat sini oleh orang awam, kira-kira pukul 11 pagi, namun semua wang tunai telah dilarikan.

Beliau berkata satu pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan secara saintifik, termasuk mengesan semua suspek yang terlibat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-92840083 atau hubungi terus Inspektor Aniza Murad di talian 012-5413005," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain