suria

Dr Chua Kecewa Insiden Simbah Cat Di Wisma MCA

SERI KEMBANGAN: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melahirkan rasa kecewa dengan insiden menyimbah cat berwarna merah di Wisma MCA awal pagi Khamis.

Beliau berkata pihak pengurusan Wisma MCA akan mebuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Ada spekulasi yang bertiup mengatakan insiden tersebut berlaku disebabkan pendirian MCA yang menentang PAS dalam isu pelaksanaan hukum hudud,” katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Dr Chua berkata kejadian tersebut pertama kali berlaku dalam sejarah MCA.

“Kami mahu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat pendirian mereka tentang hudud.

“Mereka sepatutnya menjelaskan bagaimana hudud dilaksanakan ke atas orang bukan Islam dan kesannya terhadap sistem ekonomi, sosial serta pendidikan negara,” katanya.

Pada awal pagi Khamis, Wisma MCA di Jalan Ampang disimbah dengan cat berwarna merah.

Beberapa pekerja di bangunan tersebut mendapati dinding dan lantai berhampiran dengan pintu masuk di lobi bangunan berkenaan disimbah cat berwarna merah pada pukul 7 pagi tadi.

Kejadian tersebut sudah dilaporkan kepada pihak polis dan mereka sedang menyiasat individu yang dipercayai terlibat dengan insiden berkenaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berkenaan.

Artikel Lain