suria

Projek MRT: Pemilik Tanah Desak Kerajaan Ubah Laluan Landasan

KUALA LUMPUR: Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada Selasa mendesak kerajaan supaya mengubah laluan landasan projek transit aliran massa (MRT) yang dirancang dibina di atas tanah Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang.

Setiausaha Agungnya, Yong Yew Wei berkata, pembinaan laluan MRT di lokasi tersebut akan memberi kesan kepada perniagaan dikawasan berkenaan dan menjejaskan bangunan warisan di sekitarnya.

"Di kawasan itu, terdapat banyak lot-lot perniagaan dan bangunan warisan... pembinaan landasan itu akan memberi kesan secara tidak langsung terhadap perniagaan di kawasan ini yang turut menjadi tumpuan hampir empat juta pelancong asing setahun," katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Terdahulu, memorandum bantahan itu turut diserahkan kepada Timbalan Setiausaha Sulit Perdana Menteri untuk disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pemeliharaan kawasan sekitarnya amat penting bagi pembangunan jangka masa panjang negara terutamanya dari segi nilai sejarah dan ekonomi.

Selain itu, Yong berkata memorandum itu juga mengandungi cadangan pembinaan laluan alternatif yang membabitkan kos lebih rendah dan jauh daripada premis perniagaan.

Pembinaan MRT secara berperingkat akan bermula pada suku kedua tahun depan manakala kerja penerowongan laluan sejauh 51 kilometer dari Sungai Buloh ke Kajang dimulakan pada suku kedua 2014.

Artikel Lain