Sindiket Curi Motosikal dan Kereta Mewah Tumpas - Semasa | mStar

Sindiket Curi Motosikal dan Kereta Mewah Tumpas

ALOR SETAR: Polis berjaya menumpaskan dua sindiket mencuri 15 kenderaan mewah dan dua sindiket mencuri motosikal dengan penangkapan 12 lelaki bulan ini.

Ketua Polis Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata sindiket mencuri kereta mewah itu menjalankan kegiatan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk diseludup ke negara jiran manakala sindiket mencuri motosikal juga melakukan aktiviti mereka berasingan di negeri ini.

Beliau berkata kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kedah dan Bahagian Jenayah Bukit Aman bermula dengan penangkapan seorang lelaki berumur 32 tahun yang memandu Toyota Estima curi di KM 8.7 Lebuhraya Changlun-Bukit Kayu Hitam pada 4.30 pagi 14 Oktober lepas.

"Siasatan polis membawa kepada penemuan sebuah lagi Toyota Estima curi yang diletakkan berhampiran sebuah pasar raya di Gurun namun seorang lelaki anggota sindiket itu masih bebas," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Adzaman berkata siasatan awal mendapati sindiket dua lelaki itu telah menyeludup 11 buah Toyota Estima ke Thailand yang dicuri di Damansara dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Lelaki itu juga mempunyai rekod bersabit kesalahan dadah, katanya.

Menurutnya satu lagi sindiket dianggotai dua lelaki berumur 31 dan 34 tahun diberkas 10 hari selepas itu masing-masing di sebuah rumah di Changlun dan Alor Setar bersama dua Toyota Estima yang dicuri turut dirampas daripada mereka.

Kedua-dua lelaki itu juga mempunyai 10 rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya, tambahnya.

Dalam kes berasingan di Kota Setar, lima remaja berumur 16 hingga 20 tahun yang menggelar diri mereka Kumpulan Digat ditahan polis Kota Setar kerana disyaki menjadi dalang kes curi motosikal di daerah itu.

Adzaman berkata semua remaja itu ditahan berasingan di rumah mereka di sekitar Pekan Langgar dekat sini bermula 16 hingga 20 Oktober lepas.

"Tangkapan itu membawa kepada penemuan 27 rangka motosikal dan lima enjin motosikal. Sebanyak 23 rangka ditemui dalam sungai di Langgar, tiga dalam telaga dan satu di belakang sebuah rumah suspek," katanya.

Beliau berkata semua remaja itu direman selama empat hari sehingga 30 Okt ini dan disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sementara itu di Padang Terap, empat pemuda sindiket kumpulan Naka berumur 20 hingga 23 tahun diberkas polis pada 18 Okt lepas kerana disyaki terlibat dengan 10 kes kecurian motosikal di daerah itu.

Adzaman berkata semua pemuda itu ditahan dibawah Seksyen 31 Ordinan Darurat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

Artikel Lain