suria

Polis Marin Gagalkan Cubaan Seludup 5,500 Liter Diesel Subsidi

PELABUHAN KLANG: Taktik penyeludup minyak diesel subsidi menjalankan aktiviti mereka di sebuah stor tidak bernombor di Jalan Emas, Klang, dekat sini terbongkar berikutan serbuan oleh pasukan polis marin Jumaat lepas.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang DSP Norzaid Muhammad Said berkata serbuan itu menyaksikan penahanan empat lelaki yang leka memindahkan minyak diesel subsidi dari sebuah tong simpanan ke sebuah lori.

"Ketika diserbu, kita dapati kesemua mereka iaitu tiga lelaki yang bekerja dan menjaga stor itu serta pemandu lori berusia 43 tahun sedang mengisi 5,500 liter minyak diesel subsidi ke dalam lori dipercayai untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang," katanya di sini, Ahad.

Beliau berkata minyak diesel subsidi itu dianggar bernilai RM21,900.

Norzaid berkata mereka ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen jual beli dan menyimpan minyak diesel subsidi mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata PGM akan meningkatkan intipan dan serbuan terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi terutama menjelang cuti musim perayaan ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain