suria

Penjawat Awam Ditahan Simpan Mercun Bernilai RM250,000

KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam ditahan polis kerana didapati menyimpan mercun bernilai RM250,000 di rumah sewanya di Taman Seri Bahtera Cheras di sini Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata polis yang bertindak atas maklumat orang awam menahan lelaki berusia 35 tahun itu di rumahnya pada pukul 10 malam.

Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis mercun termasuk mercun bola, mercun padi dan 'Thunder Cat' di sebuah bilik di rumah itu, katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mercun itu baru seminggu tiba, dipercayai diseludup dari negara jiran dan untuk dipasarkan sempena perayaan Deepavali dan Krismas.

Mohan Singg berkata lelaki terbabit dipercayai mempunyai pelanggan tertentu untuk memasarkan mercun itu.

Lelaki itu ditahan reman selama empat hari mulai Rabu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki dan menjual mercun yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain