suria

Anggota Rela Mungkin Ditempatkan Di Semua Stesen Minyak Di Sempadan

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menempatkan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di stesen minyak di semua pintu masuk sempadan negara bagi membantu memantau penguatkuasaan larangan penjualan petrol RON95 kepada warga asing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selepas ini mungkin anggota Rela akan ditempatkan di stesen minyak di pintu masuk di sempadan Perlis, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, langkah itu hanya akan diambil berdasarkan keberkesanan program penempatan anggota Rela yang kini dilaksanakan di stesen minyak di pintu masuk sempadan di Kelantan dan jika dipersetujui Kementerian Dalam Negeri, katanya kepada pemberita selepas merasmikan 1Malaysia Stesen Francais di sini, Rabu.

Beliau mengulas laporan akhbar pada Rabu, yang menyatakan terdapat beberapa stesen minyak di Padang Besar, Perlis, tidak mematuhi undang-undang dengan menjual petrol RON95 kepada pengguna kenderaan warga Thailand.

"Saya dan Menteri Dalam Negeri akan mengadakan lawatan ke stesen minyak di pintu sempadan Kelantan bulan depan, untuk melihat sejauh mana keberkesanan langkah itu. "Setakat ini memang nampak kurang penyeludupan petrol RON95 berlaku di Kelantan tapi kita akan dapatkan laporan terperinci, jika berkesan dan Kementerian Dalam Negeri boleh bantu, kita akan perluaskannya," katanya.

Mengenai 1Malaysia Stesen Francais, Ismail Sabri berkata ia bertujuan menempatkan francais mikro tempatan di bawah satu bumbung sebagai satu inisiatif memperbanyakkan francaisi di kalangan usahawan kecil.

"Ia juga untuk menyakinkan Pihak Berkuasa Tempatan, pengendali konsesi lebuh raya dan pasar raya besar supaya memberi peluang kepada pengusaha mikro francais beroperasi di ruang-ruang perniagaan mereka," katanya.

Selain itu, katanya ia juga bertujuan untuk mengubah stigma masyarakat yang beranggapan sistem francais hanya melibatkan perniagaan bermodal besar sahaja.

Ismail Sabri berkata mikro francais menawarkan kepada usahawan kecil untuk menjadi francaise perniagaan bermodal kecil iaitu antara RM15,000 hingga RM50,000.

1Malaysia Stesen Francais yang bertempat di tingkat satu bangunan kementerian itu menempatkan kedai francais antaranya Ani Sup Utara, Long Burger, Mama Chops Papa Grill dan Bangi Kopitiam. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain