suria

Kita Tidak Akan Siasat Ananda Krishnan, Kata Salang

KUALA LUMPUR: Kes yang difailkan terhadap taikun Malaysia dan pemilik Maxis, T. Ananda Krishnan oleh Biro Siasatan Pusat India (CBI) tidak memberi kesan ke atas industri telekomunikasi Malaysia, kata Timbalan Menteri Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

Beliau berkata pihak berkuasa Malaysia tidak akan mengendalikan sebarang siasatan ke atas taikun berkenaan.

"Pada masa ini, siasatan hanya oleh CBI India. Tiada siasatan di pihak Malaysia kerana kita amat telus bagaimana kita menguruskan industri telekomunikasi kita," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan forum Masa Depan Komunikasi dan Saling Hubung 2011 bagi pihak Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rais berkata menerusi Inisiatif Jalur Lebar Negara, negara boleh mencapai kadar penembusan jalur lebar isi rumah hampir 61.5 peratus dan berhasrat meningkatkan angka itu kepada 75 peratus menjelang akhir 2015.

Bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani dalam melonjakkan cita-cita tinggi jalur lebar itu.

"Dilihat kepada saingan sengit yang telah sedia ada di pasaran, terdapatnya beberapa tahap ketidaktentuan di sekitar aliran pendapatan jalur lebar masa depan di kalangan penyedia dan pengusaha aplikasi dan kandungan," katanya.

Sementara itu, untuk para pengusaha, Rais berkata perlunya untuk mempelbagaikan aliran pendapatan dengan meninjau skala dalam peruntukan masing-masing bagi perkhidmatan akses dan menguasai kepentingan lebih besar dalam aplikasi dan pendapatan penyedia kandungan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain