suria

PRU dan Masa Depan Parti, Agenda Persidangan Gerakan Ke-40

KUALA LUMPUR: Persidangan Perwakilan Kebangsaan (NDC)kali ke-40 parti Gerakan akan bermula esok dengan agenda utama membincangkan tentang masa depan parti serta persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum.

NDC tahunan ini akan bermula dengan persidangan Pemuda, Wanita dan Ahli Seumur Hidup secara serentak pada Sabtu manakala badan induk parti itu mengadakan persidangan pada Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan persidangan itu pada Ahad.

Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow berkata agenda utama persidangan adalah menggubal pelan tindakan bagi parti itu menghadapi pilihan raya umum dan selepas tempoh itu.

Selain ucapan Najib, beliau berkata ucapan Presiden parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon amat ditunggu-tunggu perwakilan dan anggota parti yang ingin tahu apakah tindakan Presiden untuk mengukuhkan strategi dan persediaan parti menghadapi pilihan raya umum.

"Persidangan ini penting memandangkan ia mungkin yang terakhir sebelum pilihan raya umum diadakan.

"Inilah masa paling baik untuk menggerakkan momentum dan esprit de corps (semangat kerjasama parti) bagi menghadapi pilihan raya," katanya kepada Bernama di sini.

Teng berkata pihak sekretariat persidangan telah meneliti soalan-soalan yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, yang secara umumnya dirumuskan dalam tiga perkara utama iaitu belia, kepentingan Bahasa Inggeris dan Model Baru Ekonomi.

"Soalan ini akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan kami berharap beliau akan mengupas tiga perkara utama ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain