suria

Najib Hantar Perutusan Takziah Kepada Yingluck

BANGKOK: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam bencana banjir buruk yang sedang melanda Thailand.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya dengan penuh tulus ikhlas mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh.

"Ucapan simpati juga kami rakamkan kepada kerajaan dan rakyat Thailand, khususnya kepada keluarga yang terjejas oleh banjir," katanya dalam sepucuk surat yang dihantar kepada rakan sejawatnya di Thailand Yingluck Shinawatra.

Surat bertarikh 11 Oktober itu diserahkan kepada Kementerian Luar Thailanda pada Rabu.

Najib berkata beliau berasa sedih apabila mendapat tahu bahawa hujan lebat berterusan di kawasan tengah dan utara Thailand, telah menyebabkan banjir di banyak wilayah dan mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda. Perdana Menteri Malaysia berkata beliau yakin di bawah kepimpinan Yingluck dan perhatian kerajaan, Thailand dapat mengatasi masalah itu dengan segera.

Kira-kira 40 peratus negara itu masih ditenggelami banjir, dengan 2.2 juta rakyat daripada lebih 10,000 kampung di 28 kawasan di utara dan tengah menjadi mangsa banjir.

Angka kematian setakat Rabu ialah 281 orang.

Lebih 900 kilang, 1.5 juta hektar tanah pertanian dan 9.9 juta ekor ternakan terjejas oleh banjir itu. - BERNAMA

Artikel Lain