suria

Flat Terbakar: Warga Nepal Maut, Empat Cedera

SHAH ALAM: Seorang warga Nepal maut manakala empat lagi rakan serumah yang merupakan rakan senegaranya cedera dalam satu kebakaran di sebuah flat di Jalan Tupai, Seksyen 20 di sini pagi Selasa.

Kelima-lima mereka yang bekerja di sebuah kilang elektronik berhampiran, sedang tidur selepas pulang daripada bekerja syif malam apabila kebakaran itu bermula pada 11 pagi, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Mohd Hisham Sidek.

Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Chakra Bahadur Bolum, 21.

"Kebakaran itu dipercayai bermula di ruang tamu rumah yang terletak di tingkat bawah Blok 14, dan puncanya masih lagi disiasat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Hisham berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.18 pagi dan dua jentera bomba dengan 19 anggota bergegas ke tempat kejadian.

Sementara itu, menurut seorang saksi yang tidak mahu dikenali, sebaik melihat asap keluar dari unit itu, dia dan beberapa penghuni lain memecahkan gril dan pintu flat itu dengan penukul untuk memasuki rumah berkenaan.

"Sebaik pintu terbuka, salah seorang daripada mangsa keluar dalam keadaan terbakar teruk," katanya dan menambah mereka membantu membawa kesemua lelaki itu keluar.

Katanya Chakra masih hidup ketika dibawa keluar tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Empat lagi warga Nepal itu, yang berumur dalam lingkungan 20-an, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain