suria

Polis Tahan Reman Dua Saudara Terdekat Susulan Kematian Wanita Semalam

KUALA LUMPUR: Dua saudara terdekat seorang wanita yang ditemui mati di rumahnya di Kuarters Pejabat Haiwan Taman Golden Wood, Kuala Kubu Baharu pagi Ahad, ditahan reman seminggu mulai Isnin.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Yahya Afendy berkata penahanan wanita berusia 44 dan lelaki berumur 57 tahun itu adalah bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 iaitu membunuh.

"Kita masih menunggu laporan bedah siasat kematian wanita berkenaan yang dijangka akan dikeluarkan pihak hospital esok," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Mayat S. Gurmeet Kaur, 41, ditemui pukul 7 pagi Ahad di atas katil dengan keadaan mukanya berdarah serta mempunyai kesan lebam.

Mangsa yang merupakan penjual nasi lemak, sebelum itu dikatakan bertengkar dengan wanita dan lelaki itu yang membawa kepada kematiannya.

"Hasil siasatan awal menunjukkan si mati, lelaki itu dan seorang lagi wanita sering mabuk dan bertengkar setiap hari," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain