suria

Polis Tahan Dua Suspek Kes Bunuh Ahli Perniagaan

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang ahli perniagaan di sebuah kebun pisang di Kampung Kubang Palas, dekat sini enam hari lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata kedua-dua suspek berbangsa Melayu berumur 31 dan 35 tahun itu ditahan kira-kira 5 petang, pada Ahad, di Jalan Tengku Petra Semerak, dekat sini.

"Kedua-dua suspek itu yang merupakan rakyat tempatan dan bekerja sendiri ditahan Pasukan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hasil maklumat orang awam. "Mereka, yang tidak memiliki rekod jenayah lampau, direman selama enam hari bermula hari ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis merampas tiga kenderaan, iaitu dua di Kota Bharu dan satu di Jerteh, Terengganu yang disyaki digunakan dalam kes pembunuhan itu.

Mazlan berkata kedua-dua suspek dipercayai diupah individu lain untuk melakukan pembunuhan itu dan polis sedang memburu tiga lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

"Hasil siasatan awal, kita dapati kes itu mungkin bermotifkan hutang. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Kontraktor dan penjual barangan binaan, Saw Yee Siang, 57, yang beralamat di Tumpat, ditemui mati dengan tangannya terikat dan kepala dibungkus kain di sebuah kebun pisang di Kampung Kubang Palas, Binjai dekat sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain