suria

Hudud:Liow Sifatkan Kerajaan Kelantan 'Keras Hati'

SHAH ALAM: Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan kerajaan PAS Kelantan untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal khas berhubung hukum hudud menggambarkan sikap "keras hati" parti itu.

Beliau berkata keputusan itu menunjukkan PAS masih mahu melaksanakan undang-undang tersebut walaupun banyak pihak telah menyuarakan bantahan.

"Hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud jelas tidak mengambil kira pandangan ramai rakyat Malaysia. MCA telah menyuarakan bantahan mengenai isu ini kerana undang-undang itu tidak relevan bagi masyarakat berbilang kaum seperti kita," katanya selepas merasmikan Promosi Pemakanan Sihat di sini.

Pada Jumaat, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilapor berkata kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa teknikal khas berhubung pelaksanaan hukum hudud di negeri itu.

Mursyidul Am PAS itu antara lain berkata jawatankuasa tersebut penting memandangkan perkara berkenaan melibatkan aspek teknikal sekalipun undang-undang syariah berkaitan hudud telah lama diluluskan kerajaan Kelantan.

Liow yang juga Menteri Kesihatan turut mendesak DAP sebagai rakan sekutu PAS dalam pakatan pembangkang menyatakan pendiriannya. - BERNAMA

Artikel Lain