suria

Program 6P: Majikan Degil Akan Dikenakan Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR: Majikan yang masih berdegil mengambil Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) akan dikenakan tindakan tegas berkuatkuasa serta-merta sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan proses pengampunan dalam Program 6P.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penguatkuasaan itu dilakukan bagi membanteras kemasukan PATI ke negara ini.

"Kita akan mulakan dengan majikan terlebih dahulu. PATI yang tidak berdaftar tidak layak mendapat tawaran pemutihan kerana mereka sudah diberi tempoh yang agak lama untuk berbuat demikian.

"Penguatkuasaan ini akan dilakukan mengikut sektor dalam tempoh segera kerana kita tidak mahu golongan ini terus bekerja dan merasakan diri mereka terselamat ekoran tiada tindakan tegas diambil," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan PATI di sini, Rabu.

Muhyiddin berkata, di bawah Fasa Pertama Program 6P yang berakhir 31 Ogos lalu, seramai 2.32 juta pekerja asing berjaya didaftarkan di mana lebih 1.3 juta terdiri daripada PATI.

Sementara itu, beliau berkata, PATI yang telah mendaftar akan diuruskan dan ditempatkan dalam lima sektor dibenarkan kerajaan iaitu perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan ketika program pemutihan dimulakan Isnin depan.

"Proses pemutihan melibatkan lebih sejuta PATI...jadi proses penempatan memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan. Mereka akan diberi permit kerja sebelum ditempatkan ke dalam sektor yang memerlukan khidmat mereka," kata Muhyiddin.

Tambah beliau, kira-kira 50,000 PATI yang bekerja dalam sektor tidak dibenarkan seperti kedai cuci kereta dan bengkel akan diberi peluang untuk ditempatkan dalam lima sektor bersesuaian.

"Hanya lima sektor dibenarkan untuk PATI kerana kita bagi keutamaan kepada rakyat tempatan...yang penting mereka datang bekerja dan ikut prosedur ditetapkan kerajaan," jelasnya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, proses pengambilan pekerja asing masih dibekukan dan hanya 14 buah negara sumber dibenarkan untuk menyalurkan tenaga kerja asing ke negara ini.

Artikel Lain