suria

Blogger Mohon Maaf Kepada Rais

KUALA LUMPUR: Seorang penulis blog yang disaman oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memohon maaf kepada beliau secara terbuka pada Selasa berhubung artikel yang memfitnah menteri itu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dibaca di Mahkamah Tinggi oleh peguam K.Shanmuga yang mewakili penulis blog berkenaan, Ahmad Mutalib Mohamed Daud, berkata Ahmad Mutalib sesal menerbitkan artikel berkenaan dan secara ikhlasnya memohon maaf kepada Rais.

Katanya Ahmad Mutalib telah memberi pengakuan bahawa beliau tidak akan mengulangi dakwaan serupa atau sebarang tuduhan terhadap Rais.

Sebelum itu, peguam Shahabudin Sheikh Alaudin yang mewakili Rais, berkata bahawa Ahmad Mutalib mengakui yang tuduhan yang dibuatnya adalah tidak berasas.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah kemudian membatalkan saman itu tanpa mengeluarkan perintah berhubung kos.

Pada 10 Februari lepas, Rais memfailkan saman berkenaan setelah empat artikel yang disifatkannya sebagai fitnah dimuat naik oleh Ahmad Mutalib dalam laman webnya, Sabahkini.

Dalam tuntutannya, Rais berkata beberapa perkataan dalam artikel itu berniat jahat dan berunsur fitnah serta menjejaskan reputasinya di peringkat negara dan antarabangsa sehingga menyebabkan beliau merasa malu dan tertekan. - BERNAMA

Artikel Lain