suria

ADUN BN Johol Meninggal Dunia

KUALA PILAH: Anggota Dewan Undangan Negeri Johol, Datuk Roslan Md Yusof meninggal dunia di Hospital Tunku Ampuan Najihah di sini kira-kira pukul 4.45 pagi, Selasa.

Allahyarham, yang berusia 58 tahun, dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan selepas mengadu sesak nafas semalam.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Zawayah Marzuki, 53, dan lapan orang anak, tiga lelaki dan lima perempuan berumur 28 hingga 17 tahun.

Roslan, seorang bekas guru yang mewakili Barisan Nasional (BN) mula memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol pada pilihan raya umum 2004.

Pada pilihan raya umum 2008, Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah itu mengalahkan calon PAS, Kamarudin Md Tahir dengan majoriti 1,263 undi.

DUN Johol terletak di dalam kawasan Parlimen Kuala Pilah, yang turut mempunyai DUN Senaling, Juasseh, Pilah dan Seri Menanti.

Pada 2009, Allahyarham Roslan dilaporkan mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika bermain badminton menyebabkan tulang belakangnya cedera.

Berikutan itu, beliau telah menjalani pembedahan dan fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur bagi membetulkan tulang belakangnya awal tahun ini.

Anak sulung Allahyarham, Mohd Hafizi, 28, berkata jenazah Allahyarham telah dibawa ke kediamannya di No. 6, Kampung Berambai dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cabang Dua, Johol, selepas zohor. - BERNAMA

Artikel Lain