suria

Kerajaan Bina Semula Jambatan Sg Pinang

KEMAMAN: Kerajaan Terengganu akan membina semula projek jambatan Sungai Pinang dekat sini yang pembinaannya tergendala sejak lebih 10 tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM8.5 juta bagi menyiapkan jambatan yang menghubungkan lebih 20,000 penduduk dari beberapa kampung dengan Bandar Cukai.

Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan pembinaannya yang dijangka bermula awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun, katanya selepas melawat beberapa buah rumah penduduk yang terbabit dengan banjir kilat baru-baru ini.

Beliau berkata jambatan berkenaan penting kerana ia adalah laluan utama penduduk Air Putih ke Bandar Cukai.

Katanya, jambatan berkenaan yang dibina terlaluendah sebelum ini sering tenggelam setiap kali banjir berlaku di kawasan itu. Ahmad berkata kerajaan juga bercadang untuk meninggi dan menaik taraf jalan antara Kampung Paya Pamam yang menghubungkan jambatan berkenaan yang sering kali ditenggelami air setiap kali banjir melanda.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal berkata, apabila jalan itu ditinggikan nanti, ia akan menjadi laluan alternatif penduduk dari Kampung Air Putih dengan menggunakan jalan Mardi Pasir Gajah ke Ibok untuk ke bandar Cukai.

Jalan ini dapat digunakan penduduk sekitar Kampung Air Putih, Pasir Gajah, Seberang Tayur dan Dadong sementara menunggu pembinaan jambatan Sungai Pinang siap dalam tempoh dua tahun lagi, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain