suria

Bukan Untuk Orang Macam Kita...

KITA harus menerima hakikat bahawa jika kita tidak membeli insuran kesihatan atau syarikat tidak memberi faedah rawatan kepada ahli keluarga, hospital swasta bukanlah tempat untuk kita pergi mendapatkan rawatan.

Ini kerana kita tidak mampu menanggung caj rawatan yang mereka kenakan.

Kita hanya layak untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital awam atau hospital universiti sahaja. Tetapi hospital awam dan universiti bukannya tidak bagus.

Perkhidmatan mereka sebenarnya adalah jauh lebih bagus dan baik daripada apa yang ditawarkan oleh sesetengah hospital swasta. Cuma kita kena sabar menunggu sahaja. Namun begitu sekiranya anda mendapatkan rawatan di hospital swasta sekali pun, anda tetap kena menunggu lebih-lebih lagi jika datang pada waktu malam dan mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan.

Baru-baru ini telah berlaku satu kemalangan kecil di rumah penulis pada lebih kurang jam 10 malam. Di atas kening anak perempuan penulis telah luka dan dia memerlukan jahitan.

Pada mulanya penulis dan isteri mahu membawanya ke hospital universiti yang terletak agak jauh dari rumah kami. Tetapi dalam situasi yang seperti itu kita tidak dapat berfikir panjang lalu kami pun menuju ke sebuah hospital yang terletak berhampiran dengan rumah kami.

Ia adalah sebuah hospital swasta.

Di dalam fikiran kami pada waktu itu ialah untuk mendapatkan rawatan segera dan untuk menghentikan pendarahan.

Luka tersebut sebenarnya tidaklah sebesar mana, tetapi ia berlaku pada anak perempuan dan apabila berlaku pendarahan sudah pastilah menjadikan semua orang panik.

Bila kami tiba di Wad Kecemasan, seperti biasa pesakit telah diperiksa oleh doktor yang bertugas tetapi untuk menjahit luka tersebut doktor itu perlu membuat panggilan tugas (recall) doktor lain bagi melakukannya kerana kejadian ini berlaku pada waktu malam.

Selepas sejam lebih menanti, anak perempuan kami pun akhirnya mendapat rawatan dengan lukanya dijahit. Jahitan itu sekejap sahaja kerana ia bukanlah luka parah. Malah luka tersebut tidak diletakkan plaster pun. Di akhir rawatan, kami diberikan bil. Jumlah yang perlu dibayar ialah RM1,605.

Kesimpulannya, tempat ini bukanlah untuk orang macam kita. Ia hanya untuk orang-orang kaya dan berduit. Noktah.

Nam Ron & filem tentang graduan menganggur

Pengarah muda dan indi, Nam Ron kelihatan sangat marah. Kemarahannya itu khabarnya telah mendorong dia membuat sebuah filem mengenai masalah graduan menganggur berjudul ‘Jalan Pintas’.

Filem itu belum ditayangkan di pawagam-pawagam biasa tetapi telah dipertontonkan dalam Pesta Filem Bebas 2011 yang bermula semalam. Filem itu berkisar tentang satu watak bernama Bakar (lakonan Auf Razak - pelakon baru) yang walaupun merupakan lulusan universiti dan telah melalui pelbagai temuduga tetapi masih belum ditawarkan jawatan yang bersesuaian dengan kelulusan dan jurusannya.

Ini telah mendorong Bakar melakukan kerja-kerja lain yang tidak cocok dengan jiwanya.

Akhirnya, Bakar memberontak ekoran daripada kekecewaan yang dialaminya. Nam Ron mendakwa, tujuan dia membikin filem tersebut kerana pemuda yang senasib dengan Bakar kini membanjiri pasaran. Katanya ini adalah satu realiti dan pengangguran di kalangan graduan adalah satu masalah yang serius.

“Tetapi sehingga sekarang, masalah tersebut masih tidak ditangani oleh kerajaan,” demikian kata Nam Ron dalam wawancara itu.

Malah tambah Nam Ron, pelajar menghabiskan masa tiga hingga empat tahun mempelajari sesuatu kursus dan selepas tamat belajar mereka berhadapan dengan kesukaran untuk mencari pekerjaan yang sealiran dengan bidang pengajian mereka.

Nam Ron berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan terdapatnya pekerjaan yang mencukupi untuk rakyat.

Dia mengambil contoh isterinya, seorang graduan seni teater dan seni tari tetapi sehingga sekarang masih tidak dapat memperolehi pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajiannya dan terpaksa menjadi guru tuisyen untuk menampung keperluan hidup.

Ya nampaknya Nam Ron amat marah apatah lagi isterinya turut berhadapan dengan masalah sepertimana yang didakwa olehnya. Tetapi benarkah apa yang disuarakan oleh Nam Ron?

Pada Selasa, 20 September baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengeluarkan statistik terbaru kadar pengangguran di kalangan siswazah Malaysia yang rata-ratanya adalah rendah iaitu sekitar tiga hingga empat peratus dari 2001 hingga tahun lalu berbanding negara-negara seperti Australia, Jepun dan Indonesia.

Untuk makluman pembaca, di Kementerian Pengajian Tinggi, ada satu unit khas yang berkaitan dengan kebolehpasaran graduan yang memantau peratusan graduan yang mendapat pekerjaan dan tidak mendapat pekerjaan. Pemantauan dan kajian yang dijalankan oleh unit ini amat terperinci.

Khaled berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan itu, pada tahun lalu, kira-kira 50.4 peratus atau 87,908 siswazah berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

“Berlaku peningkatan ketara dalam bilangan siswazah yang mendapat pekerjaan pada tahun lalu berbanding hanya 49.1 peratus dalam jangka masa enam bulan pada 2009,” katanya.

Dan Khaled menambah, daripada 240,000 orang pelajar yang menamatkan pengajian setiap tahun, hanya 24.6 peratus atau 42,995 siswazah gagal mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan pertama selepas tamat belajar.

Menurut beliau, keadaan itu berpunca daripada sikap memilih pekerjaan, bertukar-tukar pekerjaan dan ada di kalangan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Bilangan itu menyumbang kepada kadar pengangguran kecil di negara ini.

Sewajarnya, boleh dikatakan kebanyakan siswazah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya lagi.

Untuk pengetahuan Nam Ron juga, sejak 2009 Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan pelbagai program untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan ini termasuklah memperkenalkan program seperti Bridging the Gap, Apprentice, Degree++ dan Finishing School and Internship yang ditawarkan kepada siswazah yang tidak mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Kementerian berkenaan memperuntukkan kira-kira RM6 juta untuk melatih siswazah yang terlibat dengan program seumpama itu bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan dan setakat ini 80 peratus daripada mereka berjaya memperoleh pekerjaan.

Jadi adalah tidak tepat dakwaan Nam Ron bahawa kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk mengatasi masalah graduan menganggur.

Pada masa yang sama, adalah juga mustahil untuk kerajaan memastikan setiap seorang daripada graduan yang dilahirkan dijanjikan peluang pekerjaan.

Kerana pada akhirnya, yang menentukan karier dan juga prospek cerah seseorang graduan itu adalah diri mereka sendiri. Kerajaan hanya boleh membuka jalan dan memberi latihan.

Yang menentukan jaya atau gagalnya mereka adalah kebolehan dan keupayaan diri graduan itu sendiri. Mungkin apa yang disuarakan Nam Ron itu mewakili segelintir kecil graduan yang tidak mendapat pekerjaan tetapi untuk menyatakannya sebagai satu masalah yang serius, ia adalah agak keterlaluan dan di luar konteks realiti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain