suria

MCA Cadang Kerajaan Perkenalkan Bantuan Tunai 'One-Off" Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mengambil langkah-langkah yang dapat meringankan kesusahan dan bebanan yang sedang ditanggung oleh rakyat melalui bantuan tunai ‘one-off’ kepada mereka yang berpendapatan rendah dan miskin, golongan tua/warga emas dan pesara.

Cadangan tersebut yang dilontarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ketika berucap pada Perhimpunan Agung parti itu yang ke-58 di sini pada Ahad turut menggesa kerajaan menghulurkan bantuan kepada keluarga yang masih mempunyai anak kecil yang bersekolah seperti bantuan pakaian seragam, pengangkutan dan buku latihan.

Kerajaan juga, kata Dr Chua wajar mempertimbangkan, satu bentuk elaun bulanan kepada rakyat termiskin bagi meringankan bebanan kewangan mereka.

Beliau berkata MCA melontarkan cadangan ini kerana dengan peningkatan harga makanan dan juga komoditi, semua golongan dan lapisan masyarakat dalam negara kita berhadapan dengan tempias kos kehidupan yang semakin tinggi.

"Walaupun segala langkah dan usaha telah diambil oleh kerajaan dengan memberikan subsidi yang tinggi ke atas kos rawatan dan kesihatan, pendidikan, perumahan dan minyak, rakyat pada asasnya tidak sedar akan perkara ini.

"Mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana sekarang ini berada dalam kesukaran untuk memenuhi keperluan hidup," katanya lagi.

Artikel Lain