suria

Dua Cubaan Menyeludup Dadah Bernilai RM2.8 Juta Di KLIA Gagal

NILAI: Dua cubaan untuk menyeludup dadah bernilai RM2.8 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis, gagal selepas berjaya dikesan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata percubaan pertama dikesan pada pukul 12.30 tengah malam menerusi penerbangan dari Jakarta, Indonesia melalui tiga beg pakaian.

"Hasil pemeriksaan ke atas bagasi penumpang, anggota kita menemui dadah jenis Ketamin yang disorokkan dalam bagasi mereka. Hasil imbasan x-ray, kita melihat dadah itu disembunyikan dalam 30 bungkusan makanan bijiran," katanya kepada pemberita di pejabatnya, pada Jumaat.

Ekoran penemuan itu, dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia di antara 30 hingga 40 tahun ditahan, katanya.

Dadah itu dianggarkan benilai RM330,000 dengan berat 30 kilogram dan jika sabit kesalahan, ketiga-tiga mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952, katanya.

Percubaan kedua dikesan pada pukul 2 petang hari apabila anggota Kastam merampas sebuah kotak yang tertulis "Teh Hijau", katanya.

"Kotak tersebut dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran cepat dari Hong Kong kepada sebuah syarikat di negara ini yang kita sedang siasat alamatnya," katanya.

Pada mulanya kotak itu dihantar kepada pegawai Jabatan Kesihatan untuk disemak kelulusan pengimportan tetapi mereka menemui sejumlah pil yang disyaki dadah.

Liah berkata pihak kastam kemudian membuat pemeriksaan lanjut dan menemui 11 paket dadah yang berisi 50,000 pil jenis Ecstasy dengan nilai RM2.5 juta.

Beliau memberitahu taktik menyeludup dadah dengan menggunakan bungkusan makanan merupakan satu cara baru dengan tujuan mengabui mata pegawai penguatkuasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain