suria

Dendam Punca Lelaki Ditembak - Polis

KUALA LUMPUR: tidak menolak kemungkinan dendam antara kumpulan merupakan motif kejadian seorang lelaki ditembak di sebuah restoran di Jalan Prima 2, Kepong, dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata bagaimanapun polis masih menyiasat lebih lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan mengesan identiti dua lelaki yang disyaki itu.

"Buat masa ini kami belum dapat mengambil keterangan mangsa bagi mengesan suspek kerana mangsa yang cedera ditembak di perut dan tangan masih kritikal di hospital" katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Rabu lepas, seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Subramaniam, 47, yang sedang minum di restoran itu terkena dua das tembakan dari jarak 20 meter yang dikatakan dilepaskan oleh seorang daripada dua suspek memakai topi keledar penuh dan menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ berwarna biru.

Siasatan polis mendapati suspek melepaskan 12 das tembakan bertalu-talu ke arah mangsa. Kejadian itu turut menyebabkan seorang pelanggan lelaki dan seorang wanita yang melalui kawasan itu cedera di kaki.

Mengenai kes lima lelaki cuba menyamun pegawai kanan polis menyebabkan seorang daripada suspek mati ditembak dua hari lepas di Lorong Burhanuddin Helmi 6, Taman Tun Dr Ismail di sini, Ku berkata polis sedang memburu suspek lain yang melarikan diri.

Beliau berkata kemungkinan ada suspek lain turut cedera dalam kejadian itu dan polis kini memeriksa rekod klinik dan hospital sekiranya terdapat lelaki yang mendapatkan rawatan akibat cedera terkena tembakan.

Sementara itu, Ku berkata kes wanita yang nyaris kehilangan bayi lelaki berumur 14 bulan di Jalan Kuching, dua hari lepas, bukan bermotif culik tetapi rompak dan melarikan kenderaan.

"Kami masih mengesan keempat-empat suspek yang melarikan kereta itu," katanya.

Terdahulu, Ku bersama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh menyaksikan upacara pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

Pada majlis itu,Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Kuala Lumpur ACP Abdul Hamid Mohd Ali yang dilantik Komander Pasukan Simpanan Persekutuan Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC menyerahkan tugas kepada Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Melaka Supt Md Fuzi Zaman. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga Individu, Satu Persamaan

Artikel Berikut

Artikel Lain